Followers

Jadi Ahli VIP, klik LIKE

Home » , , » GAMBAR PERKAHWINAN ELYANA
| 0 comments ]
Share

Foto

Khairul Anuar sudah sedia hadapi tempias glamor beristerikan penyanyi

KALAU mengikut perjanjian pada majlis pertunangan mereka, pasangan ini sepatutnya sudah bergelar suami isteri pada 11 Julai lalu. Namun atas sebab yang tidak dapat dielakkan, akhirnya tarikh 19 November dipilih oleh penyanyi Erneelya Elyana Emrizal atau Elyana dan Khairul Anuar Hussin sebagai hari bersejarah buat mereka. 

Pada malam Jumaat itu, Elyana dan Khairul Anuar sah bergelar suami isteri selepas dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Emrizal Shamsuddin di hadapan Imam Masjid Al-Aqram, Kampung Datuk Keramat, Azizan Othman serta disaksikan oleh dua bapa saudara penyanyi itu sendiri.
Ketika di majlis pernikahan itu, Elyana kelihatan cukup tenang bersimpuh di atas singgah sana. Saat Khairul melafazkan ijab dan kabul dengan hanya sekali ucap, dua tangan Elyana menadah ke langit tanda rasa syukur. Andai sewaktu menunggu ketibaan rombongan pengantin tadi Elyana kelihatan tenang, tapi sebaik saja akad nikah selesai dilakukan, tiba-tiba perasaan berdebar mencengkam di sudut hati.
Foto
 MAJLIS persandingan Khairul dan Elyana di Duchess Place, Jalan Ampang.
"Selama ini saya tak rasa apa-apa, sambil lewa saja tapi apabila kami selamat dinikahkan, tiba-tiba saya rasa berdebar. Serta merta teringat tanggungjawab sebagai isteri. Bagaimanapun, apabila menyatakan yang saya gugup, bukanlah bermakna tak bersedia menjadi isteri.

“Apabila mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga, itu maknanya memang sudah bersedia dan sudah berfikir masak-masak mengenainya," luah Elyana ketika ditemui selepas majlis pernikahannya yang diadakan di Duchess Place, Jalan Ampang itu berakhir.

Andai Elyana mengakui berdebar dan gugup saat bergelar isteri, perasaan yang sama turut dikongsi Khairul. Lelaki berusia 35 tahun ini mengakui terkejut melihat bakal bapa mentua sendiri yang menikahkan mereka.
"Sebelum ini saya hanya diberitahu akan dinikahkan oleh kadi. Jadi saya memang tak fikir langsung bapa mentua sendiri yang nikahkan saya,” ujar Khairul yang memiliki perniagaan sendiri ini ramah.

Datang dari dunia yang berbeza dari Elyana, apakah Khairul bersedia berdepan dengan percikan dunia glamor dan gosip yang sering melingkari kehidupan isterinya. Bukannya apa, beristerikan seorang penyanyi dan pelakon sangat besar cabarannya sehingga mampu mengundang perasaan cemburu.

"Tak dinafikan, apabila beristerikan seorang artis, saya akui tempias itu akan terkena juga. Macam hari ini apabila berdepan dengan anda media) memang lain rasanya. Dari segi hubungan dengan Elyana, terus terang saya katakan, saya tak pernah meragui dia. Malah saya meletakkan sepenuh kepercayaan pada dia," katanya. Sebagai bukti, Khairul mengizinkan Elyana untuk aktif dalam bidang seni.

Pada majlis itu, pengantin perempuan menerima mas kahwin RM80 dan wang hantaran RM22,000.

"Jumlah wang hantaran itu adalah simbolik kepada usia saya sewaktu Khairul melamar menjadi isterinya," kata Elyana.

Mengenai perancangan berbulan madu, Elyana berkata perkara itu hanya dapat dilakukan pada tahun depan.

"Selepas ini kami ada majlis bertandang di rumah pengantin lelaki di Mentakab, Pahang. Mungkin saya hanya boleh berbuat demikian pada Januari tahun depan. Saya memang teringin sangat hendak pergi ke Mesir," katanya yang bakal muncul dengan single terbaru ciptaan Aidit Alfian dan Ad Samad berjudul Sewaktu Dulu-Dulu.

Yakin jadi menantu bertanggungjawab

WALAUPUN berat, namun apabila sudah tiba sampai masanya, mahu atau tidak, sebagai bapa, harus menerima hakikat bahawa suatu hari nanti anak gadisnya itu pasti akan menjadi ‘milik’ orang juga.

Perasaan ini dirasai Emrizal apabila anak keduanya kini menjadi isteri kepada Khairul. Rasa sedih tetap ada. Bagaimanapun, apabila mengenangkan sifat menantu yang sudah dikenalinya selama lima tahun, dia reda dengan pilihan anaknya itu.

"Sejak mengenalinya lima tahun lalu, dia adalah seorang yang bertanggungjawab dan menyayangi Elyana,” katanya.

Emrizal juga berasakan tidak ada sebarang masalah bagi Elyana untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri walaupun usianya dianggap masih muda.

"Apa salahnya dia berkahwin ketika usia 23 tahun? Usia itu memang sesuai sangat untuk Elyana berkahwin. Kalau dia kahwin lambat, lagilah kita risau. Kami sekeluarga doakan moga rumah tangga mereka kekal ke akhir hayat," jelasnya lagi.

Mengulas tindakannya menikahkan Khairul yang dianggap sebagai kejutan oleh menantunya itu, Emrizal berkata itu adalah nasihat dari Imam sendiri. "Dia (imam) kata lebih afdal jika saya sendiri yang menikahkan anak saya. Jadi saya buat apa yang terbaik untuk mereka," katanya.

0 comments

Post a Comment

 
Real Time Web Analytics