Followers

Jadi Ahli VIP, klik LIKE

Home » , » RAHSIA PAK CIK POWER
| 0 comments ]
Share

INI DIA... Alias bersama isteri, Salmah menunjukkan buku risalah yang masih disimpannya berkaitan penentangan Malayan Union.
INI DIA... Alias bersama isteri, Salmah menunjukkan buku risalah yang masih disimpannya berkaitan penentangan Malayan Union.
SEGAMAT: Percaya atau tidak, lelaki berusia 97 tahun ini masih terang penglihatannya serta mampu pergi ke kebun serta bercucuk tanam selain memandu kenderaan, termasuk kereta mahupun motosikal, tanpa berteman.
Daya ingatannya juga masih tajam selain mengingati detik bersejarah negara, termasuk perjuangan Melayu dalam menentang Malayan Union sekitar 1948.

Alias Bujal tidak mengamalkan apa-apa senaman istimewa, malah tidak pernah menuntut ilmu pusaka yang berkebolehan tinggi.

Dia hanya mengamalkan pengambilan makanan berasaskan sayuran, termasuk ulam-ulaman seperti pucuk paku, ulam pegaga, ulam raja, petai dan jering.

Beberapa jenis ulaman berkenaan diamalkan warga emas itu setiap hari, malah dia mengakui sayuran kampung itu adalah petua serta kunci utama untuk sentiasa sihat selain lanjut usia.


Lebih menarik lagi, Alias turut menjadikan ulam-ulaman sebagai minuman harian yang diambil bersama madu lebah dan juga telur ayam kampung secara mentah.


Selain itu, dia mengamalkan mengunyah bawang putih mentah setiap hari sebagai petua awet muda.

“Kalau watak kartun Popeye makan bayam untuk jadi kuat, begitu juga yang saya amalkan sejak berusia belasan tahun lagi.

“Tidak lengkap makanan saya setiap hari tanpa ulam-ulaman kampung dimakan bersama nasi, nampaknya petua yang diamalkan itu berbaloi kerana sehingga kini saya masih boleh melihat kemajuan negara,” katanya.

Selain memakan ulam-ulaman, Alias mendedahkan dia tidak pernah meminum air sejuk kerana menyifatkan bahan minuman sebegitu mengakibatkan badan menjadi lesu serta cepat letih.


“Air sejuk tidak elok untuk badan kerana boleh mengakibatkan pelbagai penyakit selain semput, lelah, asma dan demam.


“Pak cik boleh demam jika minum air sejuk,” katanya yang masih boleh menghayun cangkul, membajak tanah selain tidak perlu memakai cermin mata untuk membaca mahupun ketika memandu kereta atau menunggang motosikal.


Penulis melihat sendiri bagaimana lelaki berusia emas itu masih mampu memandu kereta selain bercucuk tanam dengan menghayun cangkul di belakang rumahnya.


Warga emas ini mengakui mempunyai empat isteri yang dikahwininya sejak 1930-an sehingga kini dan hasil perkongsian hidup bersama empat wanita berbeza itu dia dikurniakan empat cahaya mata.


Difahamkan, menerusi dua perkahwinan pertama, dia dikurniakan dua anak lelaki, manakala hasil perkahwinan ketiga, dua anak perempuan.


Semua isterinya berasal dari Johor iaitu isteri pertama dari Labis; kedua, Kota Tinggi; ketiga, Segamat dan isteri keempat, juga dari Labis.


Bagaimanapun, Alias dikatakan hanya berkahwin baru selepas isteri terdahulunya meninggal.


Alias bersyukur walaupun usianya mencecah 100 tahun dia masih boleh melihat 30 cucunya lahir ke dunia, malah berkesempatan mengazankan seorang daripada 14 cicitnya.


Katanya, dia kini tinggal berdua bersama isteri keempatnya, Salmah Hussein, 59, di Kampung Tenang, di sini, sejak lima tahun lalu.


Ketika menceritakan pengalamannya melalui beberapa peristiwa yang mengubah sejarah negara mahupun dunia, Alias berkata, dia masih ingat saat pemimpin terdahulu menuntut kemerdekaan Malaysia.


“Saya bersama Datuk Onn Jaafar pergi menjelajah satu Malaya untuk menentang penindasan dilakukan pemerintah Inggeris melalui Malayan Union.


“Saya juga merasa keperitan dijajah tentera Jepun dan komunis selain diseksa, termasuk dipaksa melakukan kerja berat seperti membina landasan kereta api,” katanya.


Menurutnya, penindasan demi penindasan diterima orang Melayu ketika itu akhirnya membangkitkan satu semangat bersatu padu dan melawan demi menuntut kemerdekaan.


Alias juga dianggap antara pejuang kemerdekaan oleh penduduk setempat, malah beliau tidak lokek berkongsi pengalaman bersama generasi muda setempat.


Dia yang dilahirkan pada 1914 berkata, pada usia emasnya dia melihat beberapa perubahan negara, termasuk bersalaman dengan empat mantan Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Mahathir Mohamad.


Namun, di sebalik usia emasnya dia melahirkan rasa kecewa apabila generasi muda kini lebih gemar berfoya-foya dan semakin melupakan sejarah kemerdekaan negara, malah semakin rosak akhlak dari semasa ke semasa.


Seperkara menarik mengenai Alias, dia tidak pernah gagal menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia apabila 12 kali mengundi di kawasan Parlimen Labis dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang sejak puluhan tahun lalu.


“Pada 30 Januari (hari ini), saya akan mengundi buat kali ke-13 dan mungkin jika panjang umur murah rezeki saya akan mengundi kali ke-14 pada Pilihan Raya Umum ke-13,” katanya.-metro

0 comments

Post a Comment

 
Real Time Web Analytics