Followers

Jadi Ahli VIP, klik LIKE

Home » » 40 MINIT JOLI KAD KREDIT PALSU
| 0 comments ]
Share

ABDUL MANAB...tahan
Tiga lelaki hanya sempat ‘joli katak’ menggunakan 16 kad kredit palsu selama 40 minit sebelum diberkas polis dalam satu kejadian di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, tiga suspek berusia antara 42 hingga 45 tahun berasal dari Cheras, Selangor yang menaiki keretaProton Exora, berhenti di sebuah stesen minyak. Selain mengisi minyak penuh, ketiga-tiga suspek turut menggunakan beberapa kad kredit milik mereka untuk menambah nilai prabayar telefon bimbit masing-masing di stesen minyak berkenaan sebelum meneruskan perjalanan.

Bagaimanapun kira-kira jam 6.30 petang, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik menerima panggilan daripada sebuah bank melaporkan mengenai penggunaan kad kredit secara haram oleh tiga suspek berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Bahrum berkata, dua anggota unit peronda yang menerima maklumat itu, mengesan dan menahan kereta dinaiki suspek di Kilometer 17.5 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) menuju arah Kelantan.

“Ketika disoal siasat, suspek mengaku berhenti di stesen minyak mengisi minyak dan menambah nilai prabayar telefon bimbit menggunakan kad kredit didakwa milik mereka.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui 16 kad kredit, sembilan telefon bimbit pelbagai jenis dan sejumlah botol minyak wangi pelbagai jenama yang belum digunakan dalam kereta mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Beliau berkata, ketiga-tiga suspek dibawa ke IPD Gerik untuk pemeriksaan susulan dan diambil keterangan sebelum dibawa ke IPD Taiping kerana kes di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil bagi tindakan selanjutnya.


Menurutnya, polis masih menyiasat sama ada ketiga-tiga suspek ada kaitan dengan sindiket pemalsuan kad kredit dalam negara atau pernah terbabit kes jenayah lain.


Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dikenakan sebatan.

0 comments

Post a Comment

 
Real Time Web Analytics