DETIK BAHAGIA...Eric mengucup dahi Nurul.“Alhamdulillah, apa yang saya impikan bersama Eric
akhirnya menjadi kenyataan,” kata penyanyi Nurul Huda Abdul Wahab, 35,
sebaik saja sah menjadi isteri Eric Daniel Depp, 47, dalam majlis yang
diadakan di Duchess Place, di sini, semalam.Pasangan itu sah sebagai suami isteri dengan sekali lafaz oleh Eric
di depan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian Dan Rujuk Jabatan
Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Azizan Othman, jam 12.20 tengah
hari berwali abang Nurul sendiri, Mohamad Rizal Abdul Wahab.
Nurul berkata, kehadiran Eric mengisi kekosongan hidupnya selepas lebih
lima tahun hidup sendirian. “Keikhlasan Eric menerima saya dan anak
saya (Ayu Nazirah, 14) sangat-sangat saya syukuri,” kata penyanyi Cinta
Azali itu.
Nurul yang anggun dengan persalinan putih dan hitam rekaan Rizman
Ruzaini menerima mas kahwin RM80 dan wang hantaran EURO 5,000
(kira-kira RM20,000) serta empat dulang hantaran lagi daripada
pengantin lelaki.
Eric pula yang juga perunding kesihatan di
sebuah syarikat nutrisi antarabangsa, menerima tujuh dulang hantaran
balasan daripada mempelai perempuan termasuk sejadah, senaskah al-Quran
dan tepak sirih.
Pada majlis itu, emosi Nurul tersentuh dan
dia tidak henti-henti mengalirkan air mata ketika memberikan ucapan
kepada 200 tetamu. “Saya terlalu terharu dan bersyukur dengan
perkahwinan ini. Maklumlah sepanjang lima tahun bersendirian, saya
menempuh pelbagai dugaan secara sendirian sehinggalah Tuhan
mempertemukan saya dengan seorang lelaki yang begitu penyayang dan
ikhlas. “Eric lelaki yang sangat matang dan menerima diri saya
seadanya. Dia juga sangat menghormati semua ahli keluarga saya,” kata
Nurul.
Eric yang segak mengenakan sut rekaan Bon Zainal menyifatkan Nurul
seorang wanita yang bukan sekadar isteri buatnya sebaliknya sahabat.
“Pertemuan kami terjadi di majlis rumah terbuka hari raya rakan kami,
Zahidah Rafik pada September 2010. Sejak mengenali Nurul, saya mulai
faham budaya Melayu dan sekarang saya sedang mempelajari bahasa
Malaysia,” kata Eric yang ditemani ibu bapanya, Roland dan Germaine
Depp.
Turut hadir semalam rakan artis yang rapat dengan Nurul termasuk
Zahida Rafik, Ning Baizura, Amy Mastura, Maznah Zulkifli, Jehan Miskin
dan guru vokal Siti Hajar Ismail.
0 comments
Post a Comment