Peserta dari Selangor iaitu Mior Yazid Ahmad
menepati ramalan apabila muncul sebagai juara program Kilauan Emas musim
ketiga (KE3) yang berlangsung di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah
Alam (MBSA) di sini pada malam Rabu.
Juri profesional mewakili 70 peratus markah manakala penonton sebanyak 30 peratus.
Peserta berusia 44 tahun itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 dan sebuah kereta Nissan Livina X-Gear sumbangan Astro yang bernilai RM90,000.
Mior turut memenangi Anugerah Khas Juri dan menerima wang tunai RM5,000.
Jelasnya, masih belum terlambat untuknya bergerak aktif sebagai penyanyi dan mengangga program KE sebagai platform terbaik buat karier seninya.
"Mungkin akan bersama kumpulan saya untuk bergerak aktif kerana selesa bersama mereka," jelasnya.
Mior turut memberitahu dia masih belum mempunyai sebarang perancangan tentang wang kemenangannya itu.
"Saya tidak menyangka akan menang jadi belum mempunyai sebarang perancangan," jelasnya.
Sementara itu, tempat kedua menjadi milik peserta dari Kedah iaitu Idris Mohd Shabidin, 51, dan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 berserta trofi.
Bagi tempat ketiga jatuh kepada Silahuddin Ali, 52, dan menerima hadiah berupa RM15,000 dan trofi.
Kesemua mereka diadili oleh tiga juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Shake dan Ziana Zain.
Manakala komposer Adnan Abu Hassan dan Siti Hajar bertindak sebagai guru vokal kepada para peserta.
Kilauan Emas akhir yang dihoskan oleh Raja Azura turut diserikan dengan persembahan daripada Datuk Shake, Ziana Zain, Ali Norpiah (Juara KE 1) dan Fuad (Juara KE 2).
0 comments
Post a Comment