Sarawak sah juara Liga Perdana
Sarawak Juara Liga Perdana 2013.Pemain pasukan Sarawak meraikan kejayaan setelah menjuarai Piala Liga Perdana selepas menewaskan Kuala Lumpur 4-0 di Stadium Negeri malam tadi.PASUKAN Sarawak mencipta sejarah apabila muncul juara Liga Perdana musim ini selepas membelasah Kuala Lumpur 4-0 di Stadium Negeri Kuching malam ini.

Kejayaan tersebut membolehkan skuad bimbingan Robert Alberts mengumpul 55 mata untuk dinobat juara ketika hanya tinggal satu perlawanan, sekali gus melangkah ke Liga Super musim depan.

Sarawak mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 21 perlawanan pada musim ini dan ini kejuaraan kedua buat mereka sejak tahun 1997.

Empat gol Sarawak dijaringkan oleh Muammer Salibasic pada minit ke-21, Ronny Harum (m-69), Joseph Kallang Tie (m-85) dan Guy Bwele (m-89).

Sementara itu, perolehan 55 mata itu tidak mampu dipintas oleh pencabar terdekat, Sime Darby yang mengumpul 51 mata setelah mengatasi UiTM 2-0 di Stadium Mini UiTM, Shah Alam.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Ismail Zakaria muncul selaku naib juara Liga Perdana.

Dua gol Sime Darby dihasilkan oleh Fadzli Shaari pada minit ke-37 dan Fazrul Hazli pada minit ke-58.

Turut mencatat kemenangan selesa ialah pasukan tangga ketiga liga, Johor FA yang menumpaskan Sabah 6-1 di Stadium Pasir Gudang.

Pasukan Kedah mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan NS Betaria FC 5-0 di Stadium Darul Aman.

Lima gol Kedah disumbangkan oleh Mohd Faizal Abu Bakar pada minit kelima, Shazuan Ashraf  (m-36), Alen Guc (m-71), Khairul Helmi Johari (m-74) dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli (m-83).

Pos Malaysia dan Kuala Lumpur SPA hanya berkongsi satu mata setelah terikat 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Di Stadium Hang Jebat, PDRM pula gagal meraih tiga mata selepas tewas tipis 2-3 kepada Perlis.


Berikut keputusan Liga Perdana yang berlangsung malam ini:

Kedah 5 0 NS Betaria FC

Johor FA 6 1 Sabah

Sarawak 4 0 Kuala Lumpur

PDRM 2 3 Perlis

Pos Malaysia 1 1 Kuala Lumpur SPA

UiTM 0 2 Sime Darby

sumber